May 19, 2011

WANITA,JAGA MARUAH ANDA





Sebut tentang wanita, saya lantas terfikir tentang diri saya, ibu saya, kakak saya, nenek saya dan rakan serumah saya suatu ketika dahulu. Saya wanita, mereka juga wanita. Ya, kami wanita. Menyedari diri ini wanita, lantas saya mencari apa istimewanya wanita ini. Wanita, satu jenis mahluk yang mana Allah s.w.t mengangkat tinggi darjat wanita ini sehingga di dalam surah al-Quran juga banyak menceritakan perihal wanita. Malah, Hawa juga diciptakan bagi melengkapi hidup insan lelaki bernama Adam. Ianya sudah cukup membuktikan bahawa di dalam Islam, wanita ini bukanlah biasa-biasa, tapi wanita ini cukup dijaga dari segenap segi. Jika dikaji kembali ayat-ayat dalam al-Quran, banyak yang menjelaskan tentang wanita, baik dari segi penjagaan aurat dan pergaulan dengan lelaki.

Bercakap tentang isu aurat, saya yakin kebanyakan wanita sudah tahu aurat wanita dengan lelaki bukan mahram adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan tapak tangan. Rata-rata, ramai wanita sekarang sudah sudah punya kesedaran tentang peenjagaan aurat, namun masih ramai juga yang belum punya kesedaran tentang perihal aurat. Jika ada yang masih mahu mempertikaikan tentang ini, anda mungkin boleh berbahas, namun pucuk pangkalnya anda sedang mempertikaikan hukum Allah s.w.t yang memberi nikmat kehidupan kepada anda. Kenapa kena pakai tudung? Kenapa kaki juga dikira aurat, kenapa pakai pakaian ketat juga dikira masih tidak menutup aurat, segalanya bersebab, masakan Allah s.w.t menciptakan sesuatu itu sia-sia.

” Dan orang-orang yang berbantah-bantah tentang (agama) Allah setelah (agama itu) diterima, perbantahan mereka itu sia-sia disisi Tuhan mereka. Mereka mendapat kemurkaan (Allah) dan mereka mendapat azab yang sangat keras.” [ Asy-syuura 42: 16]

Kali ini, saya tertarik menyentuh isu wanita, namun bukan dari segi penjagaan aurat, tetapi dari segi pergaulan dan maruah sebagai seorang wanita. Suatu ketika dahulu, isu ‘couple’ hangat dibincangkankan halal haramnya, sehingga sekarang ianya kembali reda dan semua orang mengambil pendekatan untuk menilai sendiri baik buruk ‘couple’ ini. Saya melihat keadaan sekeliling, samada dengan mata kasar atau melalui facebook, saya melihat ramai wanita yang seolah-olah menjadi hamba kepada cinta. Sabar dulu, jangan melenting lagi!

Saya mentafsir apakah hamba kepada cinta ini. Ianya adalah apabila wanita itu sanggup menggadaikan maruah diri dan nilai-nilai islam dalam dirinya demi cinta kepada lelaki. Cuba kita lihat, berapa ramai wanita bertudung apabila berjalan dengan kekasih mereka, mereka tanpa segan silu berpegangan tangan, berpeluk-peluk ketika bergambar. Cukup memalukan kerana mereka bertudung dan pastinya mereka Islam! Apa penyelesaiannya? Buka tudung? Tidak! Tetapi anda yang bertudung ini perlu mengekalkan tudung anda dan berusaha menjaga nilai Islam dalam diri anda kerana apa sahaja yang anda buat, ia melambangkan agama Islam.

Itu situasi yang dari dulunya masih belum ada perubahan saya lihat. Ia seakan-akan menjadi perkara biasa bagi pasangan bercinta. Namun, berbeza pula situasinya apabila saya berada di luar negara. Perihal diatas itu jarang saya lihat kerana kebanyakan masyarakat disini bukan Islam dan jarang sekali melihat wanita yang memakai tudung berpegangan tangan dengan kekasih mereka. Namun, masih dilihat berlaku masalah dari segi pergaulan. Kunjungan lelaki ke rumah wanita itu dilihat biasa disini sedangkan dari segi adat melayu ianya tidak manis dan yang paling penting, Islam melarang keras pergaulan yang tidak mengikut batas yang ditetapkan Islam. Saya bukan mempertikaikan tentang suasana kenduri atau jamuan dirumah-rumah, tetapi saya sedang mempertikaikan tentang pasangan kekasih yang menganggap perkara ini biasa-biasa. Apa hujah dan dalil yang membolehkan anda berdua-duaan di dalam rumah dengan kekasih anda, samaada belajar atau memasak bersama? Adakah kerana anda sekarang berada diluar negara dan ibu bapa anda tidak dapat melihat perilaku anda? Sedangkan Allah s.w.t itu Maha Melihat dan hanya Dia jua yang layak menilai perbuatan kita. Tidak ada satu pun perbuatan manusia yang terlepas dari pengetahuan Allah s.w.t.

Masyarakat sekarang mudah merasakan Islam ini mengongkong apabila Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, sedangkan ianya sarat dengan hikmah yang memberi kebaikan kepadan manusia itu sendiri. Mari mengkaji sirah, bagaimana dizaman Rasulullah s.a.w, batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ini sangat dijaga sehingga tabir digunakan apabila berlaku komunikasi antara lelaki dan perempuan.


” ….Apabila kamu meminta sesuatu(keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. ( Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka…” [ Al-Ahzab 33: 53]

Wanita ini tinggi darjatnya disisi Allah s.w.t. Dimana anda letakkan darjat wanita itu andainya anda mudah saja membiarkan lelaki yang tidak halal bagi anda menyentuh anda. Dan mana nilai islam dalam diri anda andainya anda tidak kisah menjalani hidup persis suami isteri ketika anda dan kekasih anda masih tidak halal ikatannya. Siapa yang boleh menjamin 100% bahawa kekasih anda itu akan menjadi suami anda suatu hari nanti?

Bagi rakan yang sedang ‘couple’ sekarang ini, saya bukan membenci kalian, apatah lagi mahu mengutuk perbuatan kalian. Saya tidak nafi, cinta sebelum kahwin itu wujud dalam hati kebanyakan insan, namun saya tidak boleh berkata ‘ya’ kepada kehidupan persis suami isteri sebelum adanya ikatan yang halal ini. Mari sahabat! Mari kita menjaga maruah diri dan nilai-nilai islam dalam diri kita. Lelaki yang anda sangat percaya sekarang ini, belum terjamin 100% akan menjadi suami kita dan sememangnya dia tidak layak, melihat aurat kita, menyentuh kita, apatah lagi berdua-duaan dengan kita dirumah. Sangatlah menyedihkan apabila anda tanpa segan silu membenarkan kekasih anda menjejakkan kaki ke rumah anda untuk bersuka-suka dan bertambah sedih lagi apabila anda sendiri yang tanpa segan silu masuk ke rumah lelaki untuk bersuka-suka. Dimana letaknya maruah anda sebagai wanita Islam? Tanya hati dan iman anda!

” Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan -perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia(syurga).” [ An-Nur 24: 26]

No comments:

Post a Comment