May 19, 2011

MENGINSAFI HAKIKAT SEORANG ANAK

Seorang kanak-kanak yang tidak berpuas hati dengan keputusan ibunya yang membiarkan abangnya bermalam di rumah bapa saudaranya, berlari ke arah jalan raya ketika kereta sedang laju. Hatinya kecewa dan sedih, dia ingin membunuh diri. Dia tidak sendirian, dia dikejar oleh jiran-jiran yang prihatin dan bapa-bapa saudara yang terpaksa berhenti berkerja buat sementara waktu. Untuk mengelakkan dirinya dikesan oleh bapa-bapa saudaranya, dia bersembunyi di bawah sebuah pondok tapi seorang makcik tua yang baru sahaja pulang dari sawah ternampak kelibatnya. Tanpa berfikir panjang, dia membaling sebiji batu ke arah makcik tersebut dan terkena kepala makcik itu menyebabkan makcik itu berdarah di kepala sebelah kanan dan dia terus berlari ke tengah jalan raya.

Kecoh satu kampung dibuatnya, bapa-bapa saudara belah ayah dan ibu terpaksa turun padang membantu ibu mengejar anak yang seorang ini. Akhirnya sampailah seorang bapa saudara yang terpaksa membatalkan mesyuarat syarikat demi anak saudara yang tersayang dan dia berjaya memujuk kanak-kanak tadi untuk tidak berlaku liar.

Rupa-rupanya,kekecewaan si anak tidak berhenti di situ, kerenahnya disambung pada hari keesokannya. Kali ini belum sempat dia keluar rumah untuk ‘bunuh diri’, ibunya berjaya menangkapnya. Tapi dia berkeras ingin membunuh diri sehingga ibu yang tersangat malu ini terpaksa menjatuhkannya dan duduk di atas badannya. Kanak-kanak itu tetap berkeras,dia cuba menolak ibunya dan kemudian, dia ditampar berkali-kali. Dalam menangis ibunya menjerit, “andaikata kau bukan keluar daripada rahim aku, dari kecil lagi aku pinyit-pinyit kau sampai mati!” Terdiam si anak,terkejut dan menyesal…


Dan kini,anda sedang membaca penulisan si anak kecil yang menyesal itu. Ya,itulah saya suatu ketika dahulu. Hari-hari saya tidak sah kalau tidak memalukan umi tercinta, baik ketika santai di waktu petang mahupun ketika kenduri perkahwinan sepupu saya. Sebelum peristiwa di atas berlaku,saya tidak pernah fikir pun betapa umi malu dengan tindakan saya. Umi berusaha untuk mengubah saya menjadi anak yang soleh, dibawanya saya berjumpa dengan tuan guru-tuan guru untuk menggosok kepala saya tapi saya tetap degil dan angkuh. Dibelinya itu dan ini untuk saya supaya saya tidak memalukannya tapi saya mahukan yang lebih.Sekarang, bila terlihat gelagat anak-anak kecil meraung di pasaraya, teringat diri saya ketika kecil dahulu dan saya sungguh menyesal. Menyesal kerana telah memalukan umi.Maafkan saya umi.


“Siapa yang tidak pernah berkata Oh kepada ibu bapanya,sila angkat tangan?”Soal abang Rizwan,penceramah semalam.

Terkejut saya apabila melihat seorang senior yang rapat dengan saya mengangkat tangan dan mengaku bahawa dia tidak pernah berkata ‘oh’ pada ibu bapanya. Selama ini saya ingatkan untuk tidak berkata ‘oh’ pada ibu bapa adalah mustahil tapi rupa-rupanya tidak. Saya cuba ingat kembali bagaimana senior tersebut di rumahnya dek kerana saya sudah beberapa kali bertandang ke rumahnya dan berdasarkan pemerhatian saya,betul,bukan setakat oh tapi meninggikan suara dan tidak senyum ketika bercakap dengan ayahnya, itupun dia tidak pernah lakukan.Subhanallah.

identiti saya di dalam cerita ini dirahsiakan..

No comments:

Post a Comment